BUDAYARENCANA

Pujangga harus cipta masa depan dunia

Oleh Syazreen Abdullah

LEWAT bukunya Waqt bayn al-ramad wa al-ward, Adonis atau nama sebenar Ali Ahmad Asbar menganggap peranan sasterawan, penyair mahupun pujangga adalah membuang kebodohan massa dan menekuni pembaharuan bertunjangkan prinsip kebebasan.

Beliau yang terkenal sebagai simbol moden syair Arab menggesa golongan tersebut supaya memiliki kesedaran dan mengupayakan diri bagi menyelamatkan peradaban dan kebudayaan.

Calon penerima Hadiah Nobel kategori kesusasteraaan pada 2016 berpendapat pujangga harus menciptakan dunia baharu masa depan sekali gus menolak nilai-nilai statik yang membungkus tradisi sastera dan budaya. Peranan mereka penting dalam mencipta peradaban. Ia harus dilontarkan dengan nilai kebebasan dan kejujuran tanpa dibelenggu atau disekat dengan apa-apa pun.

Kata Adonis, sastera bukan sekadar politik kebahasaan yang melahirkan berbagai-bagai ekspresi sebaliknya praktik yang terarah kepada meningkatkan darjat kemanusiaan. Justeru, karyanya banyak seputar persoalan humanisme, kebebasan dan politik sebagaimana penelitiannya terhadap sisi at-tsabit (mapan) dan mutahawwil (dinamik) dalam kebudayaan Islam-Arab.

Cabarannya tidak mudah. Adonis sendiri terpaksa mengharungi kehidupan terasing sebelum berhijrah ke Lubnan dan Paris. Beliau berdepan masyarakat agama yang disadur budaya dan politik konservatif. Akibat kemunduran pemikiran masyarakat yang mengepung sastera dengan tembok agama, akhirnya sastera terbatas dan sempit. Kebebasan sastera dihadkan dalam ruang lingkup norma agama.

Dogma mundur

Adonis tegas mahu sastera dibebaskan dan tidak jumud, bukan menjadi perisai kekuasaan yang zalim atas nama agama. Beliau memandang hina sastera yang bertenggek di dahan kekuasaan yang korup. Bagi beliau, mereka yang bungkam terhadap kezaliman sebagai tidak bermoral. Pujangga sebaliknya harus menginterpretasi agama dan kebudayaan secara rasional, bukan mendukung despotisme.

Pasca Perang Enam Hari, Adonis menyeru bangsa Arab menolak kejumudan dengan merombak dasar pemikiran agama sebaliknya menggunakan wadah sastera. Beliau berpendapat sesebuah bangsa tidak akan maju sekadar kembali kepada kitab suci – tanpa sikap kritis. Sekadar meratapi kesan kezaliman dengan menyerah kepada slogan muluk agama – kembali kepada Quran dan sunnah.

Beliau percaya sesebuah bangsa tidak akan maju sekadar menyalin pemikiran yang bukan diterokainya sendiri. Di sinilah peranan pujangga, harus berani menggali dan keluar dari keselesaan kepompong masa lampau. Wacana masa depan yang dinamik tidak akan muncul tanpa kreativiti pemikiran hari ini. Bak kata Adonis, wa laysa al-fikr aba’ah bal huwa al-jasad dzatah yakni pemikiran bukan jubah, melainkan tubuh itu sendiri. Ia harus dibangunkan melalui ikhtiar kecerdasan akal rasional.

Ternyata, Adonis mahu menganjakkan sastera menuju ke dunia transformatif – mengubat krisis kemanusiaan yang tidak kunjung selesai, seterusnya mencipta pengetahuan baharu dan dinamik.

Justeru, karya Waqt bayn al-ramad wa al-ward tajam mengkritik kebudayaan Arab. Beliau memilih untuk mengubah kemerosotan budaya dan nalar pemikiran melalui lensa sastera dan pendekatan fenomenologi.

Adonis melaungkan betapa pemikiran Arab Islam tidak akan maju tanpa didekontruksi hingga perubahan terjadi. Justeru, beliau mengkritik sastera yang disalut dengan adab Islamik. Beliau juga menyebut sastera tidak akan pernah mencapai kesempurnaan melainkan pencarian tanpa pernah henti.

Beliau tidak mahu sastera tergoda dengan dogma agama yang mundur. Malah, Adonis yakin pembaharuan dalam sastera termasuk penulisan inovatif yang membuka pemaknaan baharu mampu memberi sinar kepada peradaban dan kebudayaan.

Justeru, beliau selalu mengingatkan masyarakat sastera agar jangan mudah terbuai dengan sejarah lampau. Jangan terikat dengan acuan lapuk yang tidak seiring peredaran zaman. Sastera perlu bersifat inovatif, membuka pemaknaan baharu; harus ada pembaharuan mengiringi ruang dan masa.

Dinamik

Adonis percaya sastera yang dinamik bukan muncul daripada wahyu tetapi hubungannya sesama manusia dan perubahan sosial. Yang mencipta budaya bukan wahyu tetapi manusia. Maka, manusialah yang harus menggerakkan perubahan, bukan menunggu wahyu turun.

Pandangan Adonis ada benarnya. Pujangga ialah pemikir. Mereka dikurnia akal dan kreativiti untuk melawan kebodohan mahupun kezaliman. Mereka harus berani menerobos kebodohan dan kejumudan massa.

Pujangga besar ialah pengubah masa depan. Bukan hanyut dengan keheningan kesusasteraan bersifat politik. Bukan juga tunduk beradab dengan menunggang slogan nilai murni agama. Tiap ekspresi sastera mesti membela kemanusiaan.

Demikian gerakan Adonis dalam mengeluti rejim konservatif dan penyakit sosial masyarakat Arab. Justeru, beliau digelar penyair revolusioner yang lantang melawan keterpurukan bangsa berkenaan.


Pengarang :