Wad Isolasi Hospital Semporna siap sepenuhnya dan mula digunakan pada 22 November 2020. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Pusat rawatan Covid-19 risiko rendah dibuka di Kinta

IPOH, 28 NOV: Satu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Arena Badminton di daerah Kinta hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut hantaran dalam Facebook beliau, Dr Noor Hisham berkata PKRC dengan 160 katil iaitu masing-masing 80 katil untuk lelaki dan wanita bertujuan merawat pesakit bagi kes kategori 1 dan 2.

“Ini semestinya akan membantu mengurangkan beban hospital utama. Walaupun kita melakukan yang terbaik untuk menangani situasi Covid-19, kita tahu kita harus berusaha sebaik mungkin untuk terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk pesakit bukan Covid-19 juga,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan dan menghargai kerjasama rapat mereka dengan kementerian dan agensi lain untuk membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Setakat tengah hari tadi, Perak merekodkan 1,498 kes positif Covid-19 dengan 13 kematian.

Menerusi catatan dalam laman sosial itu, Dr Noor Hisham turut berkongsi perkembangan terkini tindakan menangani penularan Covid-19 di Sabah, iaitu Wad Isolasi Hospital Semporna siap sepenuhnya dan mula digunakan pada 22 Nov lepas.

Wad Isolasi yang mempunyai sembilan katil itu mempunyai tekanan negatif dilengkapi dengan HEPA filter, dua katil ICU, dua alat ventilator termasuk satu ventilator mudah alih.

“Dengan adanya kemudahan ini, pesakit penyakit berjangkit seperti Covid-19 yang memerlukan ICU care atau HDW boleh dirawat dan diisolasi dengan lebih berkesan. Kemudahan ini juga akan mempertingkatkan kesiapsiagaan hospital menghadapi pandemik ini khususnya di pantai timur Sabah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :