Kakitangan perubatan yang mengenakan sut perlindungan diri melakukan saringan Covid-19 secara pandu lalu di Prague, Czech Republic pada 7 Oktober 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia antara empat kes import Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 27 NOV: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan satu daripada empat kes import Covid-19 yang diumumkan semalam membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun.

Dilabel sebagai kes 58,400, pemegang permit kerja yang tiba dari Malaysia itu dikenakan Notis Duduk Di Rumah (SHN).

Menurut data penuh yang dikeluarkan malam tadi, kementerian itu memaklumkan lelaki berkenaan dan tiga kes import yang lain tidak bergejala (asymptomatic) dan dikesan menerusi pengawasan dan saringan proaktif.

Setakat 12 tengah hari Khamis, republik itu melaporkan lima kes baharu dengan satu kes penularan dalam komuniti, menjadikan jumlah kes kepada 58,195.

Kali terakhir Singapura melaporkan kes dalam komuniti ialah pada 10 Nov.

Setakat ini, Singapura mengklasifikasikan 1,421 kes yang dilaporkan sebagai import, 2,272 kes dalam komuniti dan 54,502 melibatkan penghuni asrama.

Hampir 99 peratus atau 58,104 kes sembuh sepenuhnya manakala 43 kes masih dirawat di hospital dengan satu kes berada di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 20 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 28 orang meninggal dunia daripada komplikasi akibat Covid-19 di republik ini dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Singapura menamatkan kluster terakhir iaitu asrama pekerja asing pada 25 Nov.

-BERNAMA


Pengarang :