Edry Faizal Eddy Yusof (dua, kanan) menyerahkan sumbangan ketika program edaran bantuan bakul makanan bencana banjir di Dewan Serbaguna Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada 29 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Ribuan penduduk Dusun Tua dapat manfaat Program Bank Makanan

HULU LANGAT, 29 NOV: Lebih 5,000 penduduk Dusun Tua menerima manfaat Program Bank Makanan sejak dilancarkan pada Mac, kata wakil rakyatnya.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata pemberian bekalan seperti beras, sayur, ikan dan telur diharap meringankan beban golongan terjejas susulan Covid-19.

“Kita tidak agihkan bekalan rumah ke rumah tetapi keluarga terjejas boleh datang ambil makanan di premis Bank Makanan di Taman Pinggiran Delima.

“Saya terima banyak aduan daripada mereka yang hilang sumber pendapatan sejak Mac dan selaku wakil rakyat, saya cuba sedaya mampu untuk membantu masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bakul Makanan kepada mangsa banjir di Dewan Serbaguna Taman Sri Nanding hari ini.

Edry berkata pihaknya membuat tapisan golongan layak menerima bantuan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan daripada manfaat tersebut.

Premis tersebut beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.


Pengarang :