AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.1100/1150 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan pasaran mempertimbangkan banyak laporan berita mengenai perkembangan vaksin.

Pada 9.08 pagi, mata wang tempatan mencecah 4.1100/1150 berbanding dolar AS daripada 4.1080/1130 ketika ditutup pada Isnin.

Pembuat ubat AS, Pfizer dan firma bioteknologi dari Jerman, BioNTech pada Isnin mengumumkan vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan mereka adalah lebih 90 peratus berkesan ke atas novel koronavirus.

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa vaksin tersebut tidak dapat diagihkan kepada awam dalam tempoh yang segera.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata beliau berpandangan hala tuju pergerakan pasaran adalah betul.

“Memandangkan ketiadaan pakej rangsangan gelombang biru yang akan mempengaruhi mata wang negara pesat membangun, namun vaksin akan mendorong mata wang yang bergantung kepada hasil eksport minyak mentah secara lebih ketara untuk mengimbangi dana,” katanya kepada Bernama.

Selain itu Australia dilaporkan telah memulakan pembuatan bakal vaksin Covid-19 secara tempatan yang dibangunkan oleh University of Oxford pada Isnin, dengan perancangan sebanyak kira-kira 30 juta dos.

Walaupun masih menjalani ujian klinikal, bakal vaksin itu, yang dibangunkan bersama syarikat farmasi AstraZeneca, dianggap antara yang berkesan di dunia.

Seorang lagi penganalisis berkata aktiviti pengambilan untung sederhana mungkin merupakan faktor yang membendung kenaikan ringgit hari ini.

Ringgit yang mencecah paras 4.1080 semalam adalah yang tertinggi dalam tempoh sejak Februari 2020.

Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.4133/4215 daripada 5.3922/4004 pada penutupan semalam dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0510/0565 daripada 3.0586/0630.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.8563/8639 daripada 4.8770/8850 serta kukuh berbanding yen kepada 3.9087/9146 daripada 3.9599/9659.

-BERNAMA

 


Pengarang :