Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka niaga jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil tetapi lebih ke arah aliran kenaikan berbanding dolar AS pada minggu depan, selepas disokong oleh kejutan yang positif suku ketiga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik daripada jangkaan.

Penganalisis pasaran FTXM, Han Tan berkata ringgit merupakan antara mata wang yang paling berprestasi di Asia khususnya selepas pengumuman suku ketiga KDNK Malaysia, yang susut hanya 2.7 peratus berbanding penguncupan 4.6 peratus daripada jangkaan.

“Untuk minggu depan, prestasi ringgit berbanding dolar AS (USD/MYR) bakal tertakluk kepada sentimen risiko global.

“Tetapi, dengan keyakinan jangkaan peningkatan yang lebih baik dalam ekonomi Malaysia, unjuran tersebut mungkin memberi jalan untuk ringgit meraih keuntungan dan dolar AS/ringgit akhirnya akan mencecah paras 4.100, selepas gagal dalam dua percubaan sejak September,” katanya kepada Bernama.

Awal minggu ini, ringgit mencecah paras paling kukuh berbanding dolar AS sejak Februari, tetapi tidak mampu kekal pada sisi yang lebih kukuh iaitu 4.11 selepas ia tergelincir semula, kata Tan.

“Keterujaan yang mengelilingi risiko pilihan raya Amerika Syarikat dan perkembangan vaksin yang positif hanya bersifat jangka pendek, membolehkan dolar AS meningkat sehingga menyebabkan prestasi yang bercampur-campur dalam kebanyakan mata wang Asia untuk minggu ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, para peniaga akan meneliti data pengeluaran perindustrian dan jualan runcit Oktober China, yang akan diumumkan pada Isnin depan sebagai cerminan kepada pemulihan pasca pandemik yang mantap yang berkemungkinan meningkatkan sentimen di sekitar pasaran Asia yang mempunyai pendedahan yang lebih ketara kepada ekonomi kedua terbesar itu.

“Pelabur global juga sedang menunggu hala tuju seterusnya yang mampu mendorong mereka secara ketara ke zon berisiko, yang berpotensi memacu mata wang pasaran baru muncul untuk pelaburan yang lebih berisiko.

“Tetapi kebimbangan berterusan terhadap keadaan ekonomi global akibat kebangkitan kes Covid-19 yang membimbangkan di seluruh negara-negara utama menyebabkan selera risiko peniaga terhenti seketika.

“Berdasarkan keadaan ini, pusingan baharu dalam rangsangan monetari atau fiskal daripada ekonomi utama amat diharapkan oleh aset berisiko,” katanya lagi.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit naik berbanding dolar AS kepada 4.1220/1260 daripada 4.1275/1325 yang direkodkan dalam minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali pound British.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.0558/0608 daripada 3.0624/0668 dan menokok berbanding yen kepada 3.9246/9288 daripada 3.9918/9978 sebelum ini.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.8743/8802 daripada 4.8923/8995 tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.4291/4360 daripada 5.4231/4313.

-BERNAMA


Pengarang :