AGENDAEKONOMI

Ringgit melantun 4.0890/0950 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Ringgit melantun untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, dirangsang oleh permintaan diperbaharui meskipun harga minyak global merosot, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9.10 pagi, mata wang tempatan ialah pada 4.0890/0950 berbanding dolar AS daripada 4.0960/0010 ketika ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit masih terkesan dengan Covid-19.

Beliau menambah untuk mana-mana negara dengan saiz minyak eksport yang besar, mata wang mereka akan menyaksikan pergerakan turun naik dalam pasaran minyak yang tidak menentu.

Minyak mentah Brent berada pada harga US$44.18 setong sementara minyak mentah WTI diniagakan pada US$41.65 setong.

“Dengan satu lagi amaran sekatan pergerakan, terutamanya di California, peniaga nampaknya perlu meletakkan harga secara defensif sehingga hujung minggu. Jadi, saya menjangkakan mata wang tempatan juga akan bergerak secara defensif,” kata beliau kepada Bernama.

Laporan media menyatakan gabenor California telah mengeluarkan arahan untuk penduduk diam di rumah dan perintah berkurung untuk negeri itu, berkuat kuasa 21 Nov hingga 21 Dis.

Sementara itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali untuk dolar Singapura.

Mata wang tempatan meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0411/0464 berbanding 3.0417/0466 semalam dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.4216/4304 daripada 5.4092/4191.

Ia turut menyusut berbanding euro kepada 4.8557/8632 daripada 4.8452/8523 dan berbanding yen, ia jatuh kepada 3.9382/9442 daripada 3.9362/9414 pada Khamis.

– BERNAMA


Pengarang :