AGENDAEKONOMINASIONAL

Rugi bersih AirAsia naik kepada RM851.78 juta suku ketiga 2020

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Kerugian bersih AirAsia Group Bhd meningkat kepada RM851.78 juta dalam suku ketiga berakhir 30 September, 2020, daripada RM51.44 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil merosot 86 peratus kepada RM442.91 juta semasa suku tersebut daripada RM3.07 bilion sebelumnya apabila pandemik Covid-19 terus menjejaskan permintaan penerbangan, kata kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu berkata ia akan terus melaksanakan langkah-langkah pengekangan kos termasuk mengurangkan tenaga kerja dan memotong gaji pengurusan, kakitangan dan para pengarah.

Usaha untuk mengekalkan tunai, termasuk rundingan bagi penstrukturan semula pembayaran dengan pemajak, pembekal dan rakan kongsi, serta penyusunan semula kedudukan lindung nilai bahan api juga telah diambil di samping menguruskan kapasiti agar selari dengan permintaan, kata syarikat itu.

Sementara itu Presiden Kumpulan AirAsia (Syarikat Penerbangan) Bo Lingam dalam satu kenyataan berasingan berkata kumpulan tersebut berjaya mengurangkan kos tetap sebanyak 50 peratus pada suku ketiga 2020 dengan kos penyenggaraan tetap mencatatkan penurunan ketara sebanyak 68 peratus berikutan pengotimuman aset.

Beliau berkata kos kakitangan turun sebanyak 51 peratus berikutan rasionalisasi jumlah pekerja dan pemotongan gaji manakala perbelanjaan operasi lain turun 40 peratus dengan kawalan kos ketat bagi perbelanjaan pemasaran, sewa dan teknologi maklumat.

“Keutamaan kami pada masa ini adalah untuk meningkatkan beransur-ansur operasi kami secara berperingkat bermula dengan mengukuhkan kedudukan kami di dalam negara di semua pasaran utama kerana sempadan masih lagi ditutup.

“Bagi suku keempat, kami menjangka mengendalikan sehingga 31 peratus daripada kapasiti domestik praCovid-19 bagi AirAsia Malaysia, 47 peratus bagi AirAsia Indonesia dan 13 peratus bagi AirAsia Philippines,” katanya.

Lingam menjangka AirAsia Thailand mengatasi kapasiti domestik praCovid-19 pada akhir tahun manakala AirAsia India beroperasi sehingga 67 peratus.

Menurutnya, kumpulan itu sedang meneroka peluang operasi penerbangan tempatan di IndoChina.

-BERNAMA


Pengarang :