Reaksi sebahagian pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD asrama pekerja Top Glove pada 21 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Saringan Covid-19 pekerja kilang warga asing mulai esok

SHAH ALAM, 30 NOV: Saringan Covid-19 terhadap semua pekerja kilang warga asing akan dijalankan bermula esok, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai permulaan, ia tertumpu di kawasan berisiko tinggi di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah.

“Syarikat terlibat dikehendaki menyediakan stesen kuarantin (QS) dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) bersesuaian serta menyediakan pengangkutan membawa pekerja ke lokasi terbabit.

“Syarikat juga perlu menanggung kos pengurusan QS dan PKRC, saraan makan minum, penginapan pekerja serta kos saringan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pekerja yang dikesan positif ujian RTK-Antigen dan tiada gejala akan ditempatkan di asrama pekerja dengan pengasingan daripada mereka yang negatif.

“Pekerja positif ujian RTK-Antigen dan mempunyai gelaja ringan ditempatkan di PKRC manakala pekerja positif dengan mempunyai gelaja serius perlu dimasukkan ke hospital.

“Bagi pekerja disahkan positif melalui ujian RT-PCR pula perlu ditempatkan di PKRC atau dimasukkan ke hospital,” katanya.


Pengarang :