Reaksi sebahagian pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD asrama pekerja Top Glove pada 21 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Saringan pekerja asing di zon merah bermula 1 Disember

PUTRAJAYA, 28 NOV: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula Selasa depan (1 Disember).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan Covid-19 ini akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta.

“Ujian saringan ini akan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan kit ujian akan dibiayai oleh Perkeso.

“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital. Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan ini akan dijalankan secara berjadual dan berperingkat dengan memberi tumpuan kepada daerah yang berisiko tinggi, di mana ia akan dimulakan dengan pekerja asing di Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa depan.

“Lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan bermula pada 9 Disember depan manakala seluruh negeri Sabah, Labuan dan lain-lain daerah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan bermula pada 16 Disember,” katanya.

Saravanan berkata program saringan ini merupakan kolaborasi di antara agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh, yang meliputi aspek saringan, pemantauan dan pengurusan kes selepas ujian dijalankan.

Beliau berkata program ini akan dikuatkuasakan oleh KSM di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mencegah penularan Covid-19 di kalangan pekerja asing.

Maklumat lanjut berkenaan program ini akan dikemaskini di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my).

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :