Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasukan keselamatan negara di bawah Pasukan Petugas Khas (NTF) membuat tinjauan di sempadan Malaysia – Thailand di Martak Bukit Kayu Hitam PGA Briged Utara hingga ke Kem PGA Perlis bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta kemasukan pendatang tanpa asing terutama melalui lorong-lorong tikus. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sarjan Norihan semakin pulih, pindah ke wad biasa

GEORGE TOWN, 30 NOV: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari, 39, yang cedera akibat ditembak penyeludup Selasa lalu, telah dipindahkan ke wad biasa di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam selepas keadaan kesihatannya semakin baik.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata Norihan telah dipindahkan ke wad biasa dari Unit Rawatan Rapi (ICU), namun masih berada di bawah pemantauan dan pemerhatian doktor pakar.

“Setakat ini, beliau masih belum boleh menerima pelawat kerana perlu banyak berehat dan doktor pakar masih membuat penilaian sama ada perlu melakukan pembedahan susulan untuk mengeluarkan satu lagi peluru.

“Saya difahamkan kedudukan peluru itu terlalu dekat dengan tulang belakangnya serta kemungkinan memberi kesan (bahaya) jika cuba dibuang,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Norihan, yang dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP, Rabu lalu, selamat menjalani pembedahan mengeluarkan dua daripada tiga butir peluru dalam badannya.

Dalam insiden pada jam 3.10 pagi Selasa itu, Norihan dan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berdepan kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand.

Badaruddin terbunuh manakala Norihan mengalami kecederaan parah. Kedua-dua mereka adalah anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terlibat dalam Op Benteng.

– BERNAMA


Pengarang :