EXCO Kerajaan Negeri, Khairuddin Othman ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Negeri Selangor pada 2 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Sasar 45 emas pada Sukma Johor – EXCO

SHAH ALAM, 2 NOV: Sebanyak 45 pingat emas disasarkan pada Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan, kata EXCO pembangunan generasi muda dan sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata turut disasarkan ialah perak dan gangsa masing-masing 40 pingat.

“Pada awalnya, Sukma tahun ini dijadualkan berlangsung pada Julai lalu, namun ditangguhkan kepada April tahun depan.

“Antara persiapan kita menjelang tahun hadapan ialah atlet-atlet yang mempunyai kekangan berlatih di pusat latihan dan sebagainya akan menjalani latihan fizikal di rumah, namun dipantau oleh jurulatih masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Pada Sukma 2018 di Perak, negeri ini menduduki tempat ketiga dengan 47 emas, 68 perak dan 67 gangsa. Emas pertama yang diraih melalui badminton berpasukan wanita.

Sementara pada Sukma 2016 di Sarawak, Selangor muncul juara dengan 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.


Pengarang :