AGENDANASIONAL

Satu daripada dua pesakit tidak tahu hidap diabetes – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mendedahkan seorang daripada dua pesakit di negara ini tidak tahu mereka menghidap diabetes sehinggalah mereka menjalani saringan gula dalam darah.

Beliau juga berkata sebahagian besar kes diabetes boleh dicegah menerusi gaya hidup sihat, dan dengan saringan berkala penyakit itu dapat dikesan lebih awal.

Dr Noor Hisham berkata bersempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia agar mencegah dan mengawal diabetes menerusi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif, tidak merokok, memupuk minda sihat dan menghindari pengambilan alkohol secara berlebihan.

Katanya pematuhan terhadap rawatan dan nasihat pakar kesihatan selain mengamalkan gaya hidup lebih sihat juga akan membantu mengawal diabetes pada tahap optimum selain mencegah komplikasi.

“Negara sedang mendepani Covid-19 yang tidak menunjukan sebarang tanda akan berakhir dalam masa terdekat. Kajian menunjukkan individu berusia, individu obes, pesakit diabetes dan hipertensi berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 lebih serius dan membawa maut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya Laporan National Diabetes Registry 2013-2019 menganggarkan hanya 32.4 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan mencapai tahap kawalan diabetes yang optimum.

Dr Noor Hisham berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan 3.9 juta (18.3 peratus) rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes, peningkatan ketara berbanding 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus pada 2015.

Katanya diabetes bukan sahaja memberi kesan negatif kepada kualiti hidup dan kos penjagaan kesihatan, tetapi juga menambah beban ekonomi individu, keluarga serta masyarakat serta mengurangkan produktiviti negara.

Beliau berkata tema “Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan” yang dipilih untuk sambutan tahun ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai peranan penting yang dimainkan oleh jururawat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan diabetes di Malaysia dan seluruh dunia.

“Tidak dapat dinafikan peranan jururawat dan petugas kesihatan barisan hadapan yang lain amat penting dalam pengurusan pesakit diabetes, lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah pesakit setiap tahun,” katanya.

Dr Noor Hisham seterusnya menasihati orang awam agar melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dengan memeriksa status Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam darah masing-masing.

“Jika anda menghidap diabetes, pemantauan kendiri paras gula dalam darah sangat digalakkan dan ini boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan glucometer,” katanya.

KKM katanya telah merangka pelbagai program dan aktiviti berkaitan pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk memperkukuh Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) pada peringkat komuniti bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan pengesanan awal NCD.

Beliau turut memperingatkan mereka yang menyambut Deepavali agar makan secara berhemah dan meneruskan gaya hidup sihat, di samping mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard dalam aktiviti harian.

-BERNAMA


Pengarang :