Anggota keselamatan membuat kawalan pemeriksaan bagi mengawasi pergerakan orang ramai di Jalan Keningau, Sabah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 11 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Satu kluster baharu dikesan di Sabah

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Satu kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Matambai dikesan di dua daerah di Kota Kinabalu dan Penampang, Sabah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kluster Matambai yang dikesan membabitkan kes indeks (ke-22,962) hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober lepas dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Matambai di Penampang.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 23 lagi kes positif. Kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Penjara Wanita Kepayan serta Hospital Queen Elizabeth.

“Sehingga 16 November 2020 12 tengah hari, sejumlah 333 individu telah disaring, 306 individu dikesan negatif manakala tiga individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan Kluster Jeram melibatkan daerah Kubang Pasu di Kedah diisytiharkan tamat hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :