Pegawal keselamatan menarik pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4) yang diarah tutup berikutan daerah Petaling dikelaskan sebagai zon merah Covid-19 ketika tinjauan pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sekolah, kolej vokasional seluruh negara tutup sehingga 17 Disember

SHAH ALAM, 8 NOV: Semua sekolah termasuk kolej vokasional ditutup di semua negeri bermula 9 November sehingga 17 Disember bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember bagi negeri Kumpulan B.

Menteri pendidikan berkata pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah di sepanjang tempoh itu manakala guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas.

“Bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah. Walau bagaimanapun, murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.

“Di sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” kata Dr Radzi Jidin dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata murid sekolah rendah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari 2021.

“Bagi sekolah menengah pula, murid Tingkatan 1, 4, 5 dan 6 serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada 20 Januari 2021,” katanya.

Dr Radzi berkata murid Tingkatan 2 dan 3 memulakan sesi persekolahan pada 20 Januari 2021 tetapi secara pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021,” katanya.

Negeri Kumpulan A 
– Johor
– Kedah
– Kelantan
– Terengganu
Negeri Kumpulan B 
– Melaka
– Negeri Sembilan
– Perak
– Selangor
– Pulau Pinang
– Sabah
– Sarawak
– Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
– Wilayah Persekutuan Labuan
– Wilayah Persekutuan Putrajaya

Pengarang :