Maradona meninggal dunia pada 25 November 2020 akibat serangan jantung di kediamannya di Daerah Tigre, utara Buenos Aires, ibu negara Argentina. Foto: BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Selamat tinggal Maradona, pemain terulung sepanjang zaman

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Sebagai seorang pemain bola sepak terulung sepanjang zaman yang memukau dunia dengan sentuhan ajaibnya, Diego Maradona pernah sekali mempersembahkan kebolehan luar biasanya mengawal bola di hadapan penonton tempatan di Stadium Merdeka, di sini pada Januari 1982.

Selepas empat tahun, beliau mengetuai pasukan kebangsaan Argentina dan memberikan inspirasi kepada rakan sepasukannya untuk menjulang Piala Dunia 1986, memenangi final menewaskan Jerman Barat tetapi perlawanan suku akhir menentang England kekal sebagai suatu detik tidak dapat dilupakan dalam kerjayanya iaitu jaringan beliau didakwa menggunakan tangan yang dikatakan sebagai “Hand of God”.

Dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia yang tidak dapat dilupakan, Maradona mempamerkan aksi solonya yang menakjubkan menggelecek melepasi beberapa pemain pertahanan untuk menjaringkan gol yang tercatat dalam sejarah sebagai “gol abad ini” — empat minit selepas golnya menerusi “Hand of God” dalam perlawanan itu.

Mengimbau kembali kepada 1982, Maradona yang ketika itu berusia 22 tahun dengan pasukannya Boca Juniors datang ke Malaysia menentang pasukan Jemputan Selangor XI dalam satu perlawanan persahabatan dan meletakkan namanya dalam senarai penjaring selepas merembat masuk bola yang menewaskan penjaga gol legenda negara – mendiang R Arumugam yang dikenali sebagai “Spiderman”.

Hampir 23,000 peminat tempatan menjerit-jerit namanya apabila bekas bintang Barcelona dan Napoli itu berjalan keluar melalui terowong stadium sebelum mereka terpukau dengan aksinya di padang.

“Bila dia datang, setiap orang tahu mereka akan menyaksikan seorang bakal bintang dari Argentina. Pada masa itu beliau merupakan seorang pemain hebat yang sedang menggilap bakatnya,” kata bekas wartawan Bernama Tham Choy Lim ketika mengimbas kembali malam bersejarah dalam bola sepak Malaysia itu kepada Bernama.

Tham berkata ramai orang datang membanjiri stadium untuk melihat Maradona yang melonjak naik namanya ketika beraksi dengan Boca Juniors.

Beliau juga mendedahkan peminat Malaysia bernasib baik dapat menyaksikan Maradona dan pasukannya datang ke Malaysia dan mempamerkan kehebatan mereka di hadapan mata mereka sendiri.

“Memandangkan Januari merupakan luar musim di Argentina, pasukan Boca Juniors membuat keputusan memilih Malaysia sebagai satu persinggahan untuk kempen pramusim dan saya bertuah kerana dipilih oleh ketua saya untuk membuat liputan perlawanan yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup saya,” katanya.

Selangor pada ketika itu mengetengahkan pemain utama seperti arwah Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan pemain jemputan seperti legenda negara Datuk Soh Chin Aun, legenda Singapura Fandi Ahmad dan bintang Thailand Piyapong Pue-on.

Sementara itu Santokh, menggambarkan Maradona sebagai seorang pemain yang tangkas dan penuh kemahiran biarpun hanya sekali berhadapan beliau dalam stadium yang padat dengan penonton.

“Ia adalah satu kenangan terindah dan hebat bermain dengan seorang pemain unggul seperti Maradona. Kemahirannya adalah menakjubkan dan saya mendapati sukar untuk mengawal beliau,” katanya.

Maradona meninggal dunia pada Rabu akibat serangan jantung di kediamannya di Daerah Tigre, utara Buenos Aires, ibu negara Argentina.

Bekas pemain dan jurulatih, yang terkini dengan pasukan bola sepak Gimnasia y Esgrima La Plata menjalani pembedahan selepas diserang strok awal November ini.

Pada 30 Okt lepas, Maradona menyambut ulang tahun kelahiran ke-60nya.

-BERNAMA


Pengarang :