Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 2 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor Business Capital rangsang ekonomi, wujudkan bandar baharu

SHAH ALAM, 3 NOV: Projek Selangor Business Capital (SBC) di Cyberjaya bakal mewujudkan bandar baharu di selatan Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek tersebut turut mempercepat pembangunan pelbagai infrastruktur moden yang menjadi asas kewujudan kawasan baharu.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pihak yang membangunkan pusat ekonomi baharu ini akan memohon kebenaran merancang pada suku pertama tahun depan.

“Kita yakin SBC bakal mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negeri serta negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin berhubung status SBC pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedang menilai rakan strategik serta pelabur berpotensi untuk melabur dalam projek berkenaan.

“Kita bercadang mengadakan prapelancaran dalam tempoh terdekat, kemudian kita boleh kenal pasti pelabur berpotensi yang berminat menyertai pembangunan SBC.

“Pembangunan projek tersebut sepatutnya dimulakan tahun ini, namun penularan Covid-19 menjejaskan perancangan yang dilakukan,” kata beliau lagi.

SBC yang dibangunkan oleh PKNS di atas tanah seluas 56 hektar berada di lokasi strategik antara
Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.


Pengarang :