Ng Sze Han ketika sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Negeri Selangor pada 2 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor kaji hanya satu syarikat urus sampah industri, pembinaan

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri mengkaji untuk mewajibkan hanya satu syarikat dibenar mengutip sampah industri dan pembinaan bagi mengelakkan ia dibuang secara haram.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kebanyakan sampah haram yang ditemui adalah dari kategori komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI).

“Oleh itu, Kerajaan Selangor sedang dalam proses mengkaji untuk mewajibkan satu syarikat sahaja iaitu KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk menguruskan sampah industri dan pembinaan.

“Ia masih dalam peringkat kajian dan pertemuan dengan persatuan pengilang-pengilang akan dilakukan untuk menentukan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) bagi membantu menyelesaikan masalah pembuangan sisa sampah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.


Pengarang :