Dato’ Seri Amirudin Shari (berdiri, kanan) ketika sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 5 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kutip hasil RM1.99 bilion ketika ekonomi tidak menentu

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri mengutip hasil berjumlah RM1.99 bilion sehingga 31 Oktober di sebalik ketidaktentuan ekonomi susulan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah tersebut merupakan 90 peratus daripada sasaran pendapatan sebanyak RM2.2 bilion pada tahun ini.

“Kemampuan mengekalkan prestasi kewangan disokong amalan perbelanjaan mengurus dan pembangunan secara berhemah bagi menstabilkan aliran tunai negeri.

“Peruntukan belanja mengurus pada tahun ini ialah RM1.2 bilion tetapi kita hanya belanjakan RM959 juta, manakala hanya RM604.46 juta daripada RM1.13 bilion pebelanjaan pembangunan digunakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar berhubung prestasi kewangan Kerajaan Negeri pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata langkah menstabilkan pendapatan negeri adalah mengoptimumkan hasil cukai tanah dan petak dengan melanjutkan tempoh bayaran, pelaksanaan Smartbox untuk memudahkan urusan tanah serta kempen menggalakkan orang ramai membayar cukai.

“Kita juga memberi insentif pembayaran premium tanah secara ansuran kepada pemegang notis 5A dan 7G serta melaksanaan Dasar Kelulusan 100 Hari bagi menggalakkan aktiviti ekonomi,” katanya lagi.

Dato’ Menteri Besar turut menjangka Belanjawan Selangor 2021 mengalami defisit RM123 juta, kira-kira RM10 juta lebih rendah daripada jumlah defisit dalam belanjawan tahun ini.


Pengarang :