EXCOSELANGOR

Selangor miliki 250,860 hektar hutan simpan, giat tambah luas

SHAH ALAM, 11 NOV: Selangor mempunyai 250,860 hektar hutan simpan kekal atau 31.63 peratus daripada keluasan tanah negeri, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri tidak sewenang-wenang memusnahkan hutan simpan untuk aktiviti pembangunan seperti didakwa sesetengah pihak.

“Walaupun Selangor pesat membangun, kita memberi jaminan untuk mempertahankan hutan simpan kekal malah berusaha menambah keluasannya bagi tempoh jangka panjang.

“Selain itu kita juga mempertimbangkan untuk menanam semula pokok di kawasan hutan simpan yang berlaku kerosakan akibat pertanian dan penerokaan hutan secara haram,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mengenai keluasan hutan simpan kekal pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian berkata seluas 3,463 hektar hutan simpan diteroka untuk aktiviti pertanian yang kebanyakannya berlaku ketika pentadbiran terdahulu.

“Bagi mengatasi isu ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan termasuk membincangkan kaedah terbaik cara untuk elak masalah ini terus berlaku,” katanya.

Pada 25 Jun lalu, Loy Sian berkata Kerajaan Negeri menyasarkan tempoh lima tahun bagi mencapai 35 peratus keluasan hutan simpanan kekal.


Pengarang :