Petugas Kesihatan Selcare mencatat maklumat peribadi orang awam sebelum membuat ujian saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor peruntuk RM3 juta laksana Saringan Komuniti Covid-19

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk hampir RM3 juta untuk melaksanakan dua fasa Saringan Komuniti Covid-19 bagi memutuskan rantaian wabak, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata RM1.6 juta untuk fasa pertama yang dilaksanakan pada Mac dan April manakala RM1.36 juta untuk fasa dua bermula Ogos yang masih berterusan sehingga kini.

“Menerusi fasa pertama seramai 5,433 individu disaring dan mengesan 10 kes positif manakala seramai 912 disaring setakat ini dalam fasa kedua.

“Saringan fasa dua sedang berjalan dengan menyasarkan rakyat negeri ini yang pulang dari Sabah serta kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Dr. Siti Mariah Mahmud ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berhubung kos Saringan Komuniti Covid-19 dan bilangan mendapat manfaat inisiatif tersebut pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan tambahan Yi Wei berhubung tindakan terkini susulan peningkatan kes, Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri memfokuskan petugas barisan hadapan.

“Kita dalam proses melakukan saringan bersasar melibatkan anggota tentera, polis, Rela, pengawal keselamatan serta pekerja pembersihan.

“Mereka merupakan golongan berisiko tinggi yang terdedah kepada jangkitan. Kita kena pastikan golongan ini bebas Covid-19 kerana tugas mereka memerlukan sentiasa berada dalam kalangan masyarakat,” katanya.


Pengarang :