Hanya peserta yang dijemput sahaja dibenarkan menghadiri sesi temu duga program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor sasar turunkan kadar pengangguran kurang lima peratus

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor menyasar untuk menurunkan kadar pengangguran bawah lima peratus pada tahun ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pelbagai program dirangka bagi menjayakan hasrat tersebut termasuk menganjurkan Jelajah Selangor Bekerja 2020.

“Kadar pengangguran di Selangor ketika ini adalah 5.5 peratus, sekiranya kita dapat turunkan kepada 4.5 peratus dikira cukup baik.

“Bukan bermaksud Kerajaan Negeri berpuas hati dengan keadaan sekarang, sebaliknya kita sedang merangka pelbagai program bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tahun depan,” katanya.

Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media pada program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau sesi temu duga program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini.

Lebih 90 syarikat bakal menyertai jelajah itu di Kuala Selangor, Gombak (21 November), Paya Jaras (22 November), Hulu Langat (29 November) dan Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara pekerjaan ditawarkan adalah pensyarah, tutor al-Quran, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, operator pengeluaran dan penjaga stor.

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal melalui laman sesawang http://nfdot.com/ereg/views/jobfair, Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor, Instagram Jobs Malaysia Selangor atau hubungi talian 03-55247740 atau 03-55231309.

Pada 15 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kira-kira 4,000 rakyat negeri ini hilang sumber pendapatan susulan penularan Covid-19.


Pengarang :