Hee Loy Sian ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Selangor syak sumber air disabotaj, EXCO cadang lapor polis (VIDEO)

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri bercadang membuat laporan polis selepas mengesyaki wujud unsur sabotaj berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

EXCO Alam Sekitar berkata bacaan sifar TON (ukuran kadar bau) dicatat tiga kali antara jam 2 hingga 7 pagi ketika pemeriksaan Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Oleh itu, kita syak ia (pencemaran) berlaku selepas jam 7 hingga ke 10 pagi. Kita syak ada sabotaj berlaku dan akan buat laporan polis,” kata Hee Loy Sian pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong pada sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2021.

Susulan pencemaran itu, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 ditutup jam 6 petang ini.

Henti tugas itu dijangka memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata sebanyak 992 juta liter sehari (JLH) air dilepaskan ke Sungai Selangor bagi mencairkan pelarut yang mencemari sumber air mentah itu.


Pengarang :