AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor terima pelaburan perkilangan RM3.39 bilion hingga Jun

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor memperoleh RM3.39 bilion nilai pelaburan bagi sektor perkilangan antara Januari hingga Jun lalu membabitkan 122 projek.

Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM1.83 bilion melibatkan pelaburan tempatan, manakala RM1.56 bilion melalui pelaburan asing.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan industri pembuatan makanan merekod jumlah tertinggi iaitu RM1.16 bilion, produk elektrik dan elektronik (RM638.65 juta), sementara minuman dan tembakau (RM9 juta).

“Jika melihat kepada data dikeluarkan berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) pada September lalu membabitkan semua sektor, Selangor mencatatkan pertumbuhan pelaburan lebih RM11 bilion.

“Tahun lepas, kita mencatat RM47.8 bilion bagi semua sektor, tetapi saya rasa semua faham disebabkan Covid-19 dan penularan pandemik, ia telah menyesakkan perindustrian di negara kita,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin menambah, selain usaha menarik pelaburan, Kerajaan Negeri juga turut membantu pelabur menyelesaikan isu berbangkit menerusi mesyuarat penyelarasan projek yang diadakan setiap bulan.

“Dalam menyediakan persekitaran kawasan perindustrian yang kondusif dan selesa kepada pelabur, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Taman Perusahaan (IPMC) bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit.

“Kerajaan Negeri yakin usaha penggalakkan pelaburan yang dirangka dan dilaksanakan mampu memberikan keyakinan kepada pelabur untuk melabur dan membuat penambahan pelaburan sedia ada,” katanya.


Pengarang :