EXCO Kerajaan Negeri Dr Siti Mariah Mahmud menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Majlis Simposium Cikgu Anak Istimewa Selangor (AnIS) 2020 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor tubuh jawatankuasa tangani kes keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa melibatkan pemegang taruh bagi menangani isu keganasan rumah tangga.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata Jawatankuasa Penyelarasan Isu Keganasan Rumah Tangga berfungsi sebagai kumpulan pemikir yang akan membuat perancangan dan pelan tindakan khusus melalui kerjasama strategik.

Dalam masa sama, katanya, ia turut mengadakan beberapa siri seminar dalam talian untuk berkongsi input serta tindakan dalam usaha membendung masalah berkenaan.

“Kami mengambil serius terhadap statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor berhubung peningkatan 80 peratus kes keganasan rumah tangga sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

“Kes ini juga dilaporkan mendadak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berharap semua pihak membantu serta memberi sokongan terhadap usaha menghentikan jenayah terbabit.

Terdahulu, satu sidang meja bulat berhubung keganasan rumah tangga dijalankan secara maya disertai 46 pemegang taruh antaranya JKM, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, polis serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian.


Pengarang :