Ahli parlimen menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 2 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sidang Parlimen diteruskan walaupun ada kes positif Covid-19

SHAH ALAM, 2 NOV: Sidang Dewan Rakyat diteruskan seperti biasa dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat meskipun terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pegawai khas ahli Dewan Negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata undian pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) dan Belanjawan 2021 tidak boleh dilakukan secara maya sebaliknya perlu dibuat di Parlimen.

“Walaupun ada cadangan (sidang dewan) dibuat melalui maya tetapi ia tidak boleh dilakukan kerana kita tertakluk kepada perlembagaan dan peraturan Parlimen.

“Begitu juga titah Yang di-Pertuan Agong sewaktu proklamasi pembukaan Parlimen, baginda akan sebut tentang peraturan mesyuarat secara jelas.

“Jadi, berdasarkan Perkara 62(5), daripada segi undian (RUU dan belanjawan) mesti dibuat dalam Parlimen dan tidak boleh di luar Parlimen,” katanya hari ini.

Beliau berkata mesyuarat bersama yang dipertua Dewan Rakyat dan ketua whip semua parti hari ini bersetuju untuk mengurangkan jangka masa dan jumlah ahli parlimen di Dewan Rakyat.

“Setiap ahli parlimen pula hanya dibenarkan membawa dua orang pegawai dan masing-masing perlu melakukan ujian saringan Covid-19.

“Malah ahli parlimen dari Sabah dan wakilnya harus menjalani kuarantin terlebih dahulu serta mempunyai keputusan saringan negatif sebelum dibenarkan masuk ke Parlimen,” katanya.

Hari ini, Ahli Dewan Negara Senator Ras Adiba Radzi mengesahkan pegawai khasnya dijangkiti Covid-19 setelah melakukan ujian saringan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.


Pengarang :