Keadaan lalu lintas sesak di Tambak Singapura. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Singapura perketat langkah rentas sempadan Malaysia

SINGAPURA, 20 NOV: Singapura akan memperketat langkah rentas sempadan susulan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu hari ini.

Menurut MOH, bermula 22 November, 11.59 malam, pelawat mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia termasuk transit 14 hari sebelum tarikh, perlu menjalani Notis Duduk di Rumah (SHN) selama 14 hari di kemudahan SHN yang ditetapkan.

“Ini termasuk pelawat yang memasuki Singapura di bawah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan pelawat berpangkalan di Singapura di bawah Laluan Hijau Timbal Balik (RGL),” menurut MOH dalam kenyataan.

Singapura sebelum ini telah memendekkan tempoh SHN kepada tujuh hari dan menjalani tempoh itu di kediaman sendiri bagi pelawat dari Malaysia kecuali mereka dengan sejarah perjalanan ke Sabah yang perlu menjalani SHN selama 14 hari di kemudahan ditetapkan.

Dalam pada itu, MOH berkata semua pelawat ke Singapura pada 27 November, 11.59 malam yang mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia 14 hari sebelum itu, perlu menjalani ujian Covid-19 Polymerase Chain Reaction (PCR) 72 jam sebelum membuat perjalanan.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada warga Singapura (SC) dan Penduduk Tetap (PR).

MOH turut mengingatkan kepada pelawat mengenai keperluan mengemukakan keputusan ujian negatif Covid-19 sebagai syarat kelulusan memasuki Singapura.

“Ini tidak termasuk pelawat berpangkalan di Singapura di bawah Laluan Hijau Timbal Balik (RGL),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :