EXCO Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Skim Ceria: RM32 juta dibelanja baik pulih pangsapuri

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM32 juta untuk membaik pulih pangsapuri dalam tempoh tiga tahun, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata sebanyak 56 pangsapuri kos rendah dan sederhana menerima manfaat di bawah Skim Ceria antara 2018 hingga 30 September tahun ini.

“Bagi pecahan mengikut daerah pula, kita lakukan kerja baik pulih 31 pangsapuri di Petaling, 19 pangsapuri di Hulu Langat serta masing-masing tiga di Klang dan Gombak.

“Peruntukan tersebut bagi membaiki bumbung, mengecat bangunan dan menyelanggara lif serta pembentungan sekali gus memberi keselesaan kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong mengenai jumlah perbelanjaan Skim Ceria pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Rodziah berkata pangsapuri kos rendah dan sederhana dibina lebih 10 tahun diberi tumpuan untuk membaik pulih kerosakan.

“Kerajaan Negeri berusaha memastikan golongan B40 di bandar tinggal dalam suasana kediaman yang ceria dan selesa,” katanya.

Pada 1 Mac Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta di bawah Skim Ceria bagi membaik pulih kerosakan pangsapuri kos rendah dan sederhana.


Pengarang :