AGENDANASIONAL

STDC perkukuh kerjasama pintar, penuhi keperluan tenaga kerja

SHAH ALAM, 4 NOV: Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) bertekad memperkukuh kerjasama pintar bersama pemain industri dalam mewujudkan kursus profesional berteraskan kemahiran serta teknologi.

Ketua eksekutifnya Mohd Asyraf Amin berkata ia mampu memenuhi keperluan tenaga kerja selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“STDC sebelum ini menjalankan kerjasama dengan syarikat pengeluar motosikal Jepun Yamaha Motor Company Limited (Yamaha), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan pengeluar jenama penyaman udara terkemuka (Daikin).

“Sudah tentu hubungan dengan industri berkaitan perlu diperkuatkan lagi bagi memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu Mohd Asyraf berkata kerjasama dengan pemain industri itu juga penting untuk memastikan pusat pembangunan berkenaan mampu menyediakan dan mengendalikan kursus yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Penasihat Teknikal.

“Industri akan membantu STDC membangunkan pusat latihan, hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan lain-lain yang sesuai,” katanya.

Pada 30 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi meneruskan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) tahun hadapan.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan 2021 memaklumkan kerjasama melalui perjanjian usaha sama diwujudkan dengan industri antarabangsa bagi memastikan bidang latihan memenuhi piawaian dengan penyediaan pusat latihan di rantau Asia Tenggara.


Pengarang :