Atlet wushu sanda menjalani latihan bagi persiapan SUKMA di Pusat Latihan Kelab Wushu KK Chia, Selayang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA Johor tunda, MSN Selangor kaji semula program latihan atlet

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan mengkaji semula program latihan atlet susulan pembatalan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah itu bagi memudahkan atlet membuat persiapan untuk berdepan saingan kejohanan akan datang.

“Kita menerima seadanya keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membatalkan SUKMA dan Para SUKMA dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Justeru, MSN Selangor akan kaji semula program sukan lebih-lebih lagi Johor diberi hak penganjuran bagi edisi 2022 cuma kita tidak tahu tarikh sebenar termasuk had umur yang belum diputuskan,” katanya ketika dihubungi.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi

Semalam, KBS memutuskan temasya dwitahunan itu terpaksa dibatalkan selepas menerima cadangan daripada Sekretariat Sukma Johor dan kerajaan negeri susulan ketidaktentuan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Johor diberi tawaran untuk edisi 2022 kerana negeri itu sudah bersedia hampir 99 peratus daripada aspek perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Berhubung isu kerugian susulan pembatalan tersebut, Mohamad Nizam berkata pihaknya tidak mengalami masalah meskipun sudah menghantar atlet berbasikal menjalani latihan di trek velodrom nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, semua atlet diarah pulang selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua dikuat kuasa pada 28 Oktober bagi mengurangkan kos penginapan.

“Trek dicaj mengikut apa yang mereka (atlet) guna dan tempat penginapan berdasarkan bilangan hari atlet menetap tetapi kita minta mereka balik kerana PKPB dijangka berterusan serta diperluas ke negeri lain.

“Kalau latihan harian, kita memang guna velodrom sebab paling hampir, malah peruntukan latihan setiap sudah tersedia cuma tambahan kos lebih kepada penyediaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya lagi.


Pengarang :