Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor ucap tahniah petugas Hospital Sungai Buloh terima anugerah global

SHAH ALAM, 2 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengucapkan tahniah kepada dua petugas Hospital Sungai Buloh yang menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global (GHA 2020).

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkata baginda berbangga dengan pencapaian Dr C Suresh Kumar dan Dr Shaiful Azman Zakaria yang menunjukkan dedikasi serta komitmen tinggi dalam menangani wabak Covid-19.

“Baginda berharap petugas barisan hadapan terus tabah dan cekal dalam menjalankan tugas masing-masing merawat pesakit Covid-19,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office di Facebook hari ini.

Semalam, Dr C Suresh yang juga ketua Jabatan Penyakit Berjangkit dan Dr Shaiful Azman iaitu ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi, kedua-duanya dilaporkan menerima GHA 2020 sebagai pejuang Covid-19.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis lebih tegas membuat pemantauan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan peningkatan kes baharu pandemik.

“Baginda kecewa kerana masih terdapat segelintir pihak yang tidak mengambil serius, lalai dan ingkar dalam mematuhi arahan PKPB khususnya pengendali premis hiburan dan makanan.

“Baginda khuatir sekiranya kedegilan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di bawah PKPB ini berterusan, penularan wabak berbahaya Covid-19 ini sukar untuk dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Semalam, Selangor mencatat 225 kes positif wabak menjadi jumlah kes harian tertinggi setakat ini.


Pengarang :