Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat
AGENDANASIONAL

Sungai Selangor tercemar: Polis buka kertas siasatan

SHAH ALAM, 10 NOV: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Selangor yang menyebabkan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata siasatan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

“Kira-kira 3 petang tadi, polis menerima laporan seorang pegawai penguatkuasa Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengenai pencemaran yang dikesan di LRA Rantau Panjang.

“Siasatan awal Luas mendapati air loji disyaki mengandungi bahan solvent hingga ke tahap lapan TON (nombor bau nilai ambang). Ekoran itu, bekalan air terpaksa ditutup hingga kerja pembersihan selesai,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang tadi susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.


Pengarang :