Hentian Rehat dan Rawat di Dengkil, Sepang. Foto Plus Malaysia Berhad
AGENDANASIONAL

Surau di semua lebuh raya kendalian Plus dibuka semula

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (Plus) termasuk di Negeri Sembilan dibuka semula hari ini.

Plus dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia selari dengan keputusan Jabatan Agama Islam di kawasan dan negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan berkenaan dinasihatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Plus turut mengingatkan pelanggan yang menggunakan surau di lebuh raya, supaya mendaftar diri dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual bagi urusan pengesanan kontak rapat sekiranya perlu.

“Pengguna juga diingatkan untuk membawa kelengkapan solat sendiri seperti telekung dan sejadah bagi memastikan kebersihan diri terjaga ketika solat kerana kelengkapan tersebut tidak disediakan buat masa ini,” maklum kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu penandaan bagi penjarakan fizikal juga disediakan di setiap ruang solat dan kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal satu meter.

Selain itu, Plus juga memastikan surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual.

– BERNAMA


Pengarang :