Foto ARKIB SELANGORKINI
SELANGOR

Suspek cemar Sungai Selangor direman seminggu – polis

SHAH ALAM, 11 NOV: Empat individu ditahan susulan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berkata perintah reman ke atas individu berusia 33 hingga 43 tahun termasuk seorang wanita itu berkuat kuasa hingga 17 November ini.

“Reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Selayang. Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” kata Datuk Fadzil Ahmat hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan tangkapan suspek di tiga lokasi berasingan sekitar Gombak, Damansara dan Kelana Jaya antara tengah malam tadi hingga awal pagi ini.

Siasatan awal mendapati suspek wanita berusia 40 tahun merupakan penama berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menyewa premis disyaki melakukan aktiviti membuang sisa kimia ke lubang kumbahan.

Semalam Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dihenti tugas hingga menyebabkan lebih 1.1 juta pemegang akaun di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :