Selangorkini
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Syarikat mentor latih peserta mulakan niaga

Skim pinjaman Zero to Hero membuka peluang kepada orang ramai yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 untuk memulakan perniagaan.

Mereka boleh berbuat demikian mulai tahun depan sekalipun tiada lesen pihak berkuasa tempatan atau pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2021, bantuan itu terbuka kepada penduduk berusia 18 hingga 60 tahun.

Konsep program itu ialah melatih dan memantau peserta melalui syarikat terpilih dengan menggunakan sebahagian RM15 juta peruntukan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Normaiza Yahya berkata permohonan untuk skim itu setakat Oktober meningkat hampir tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sebanyak 98 permohonan baharu diterima setakat 30 Oktober. Jumlah itu dijangka meningkat hingga tahun depan kerana ramai hilang kerja atau pendapatan berkurangan,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Pertambahan itu juga didorong faktor pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang memberi tekanan ekonomi terhadap banyak pihak terutama golongan berpendapatan rendah.

Pengecualian dokumen antara kelebihan utama skim tersebut berikutan ia membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai bidang perniagaan.

Penyediaan skim pinjaman untuk membeli peralatan dengan syarikat terpilih yang berperanan sebagai mentor juga menarik minat ramai.

Skim pinjaman Zero to Hero memberi peluang kepada orang ramai memulakan perniagaan sekalipun tiada lesen

Latihan

Program berkonsep mentor dan mentee menyediakan kursus kepada individu yang tiada kemahiran berniaga melalui syarikat peneraju yang dilantik.

“Latihan dan kursus yang diberi dapat meningkatkan kemahiran dalam bidang yang mereka minati seperti jahitan, urutan, spa, bakeri, pembuatan kek, dandanan rambut serta makanan segera (ayam gunting, otak-otak, dim sum),” kata Normaiza.

Syarikat itu berperanan melatih mentee, kalangan berpendapatan bawah RM1,500 sebulan dan penduduk Selangor atau permastautin, sekurang-kurangnya selama enam bulan melalui sukatan kursus.

Kerjasama dua pihak mewujudkan situasi menang-menang apabila mentee dapat memulakan perniagaan dengan bimbingan betul. Syarikat mentor pula mampu mengembangkan perniagaan dengan menjual bahan mentah lebih bersistematik.

Mengikut Normaiza, bilangan syarikat mentor juga akan ditambah termasuk di luar bandar bagi meluaskan lagi usaha membangunkan usahawan di negeri ini.

Hijrah juga berusaha untuk meningkatkan kualiti usahawan melalui penggunaan teknologi terkini, seiring perkembangan semasa.

Sejak ditubuh pada 2016, seramai 694 peserta menyertai program itu. Sebanyak 56 syarikat berperanan sebagai mentor pula membantu memberi latihan berdasarkan kepakaran mereka.

Permohonan boleh dibuat melalui 20 cawangan Hijrah. Senarai alamat dan nombor telefon boleh didapati di laman sesawang http://www.hijrahselangor.com

Jenis perniagaan mentor:

Perkhidmatan

  • Spa kecantikan (spa bergerak)
  • Urutan selepas bersalin (khidmat ke rumah)
  • Pencetakan digital
  • Jahitan
  • Hiasan kreatif (pelamin)
  • Dandanan rambut/ gunting rambut
  • Penyelenggaraan penyaman udara
  • Bekam dan akupuntur

Makanan dan Minuman

  • Kios makanan barat
  • Kios otak-otak dan pepes
  • Kios ayam gunting
  • Kios kopi
  • Kios lelepat
  • Kios burger
  • Kios cendol santan kelapa sawit
  • Kios nasi lemak
  • Bakeri dan pastri

Pengarang :