BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tambah dana RM3 juta, perluas tuisyen percuma

Tambahan peruntukan Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dalam Belanjawan Negeri 2021 memungkinkan perkhidmatan percuma itu diperluas.

Sebelum ini RM10 juta, PTRS yang ditubuhkan pada 2009 bagi membantu pelajar dari keluarga berpendapatan bawah RM2,000 sebulan mengikuti tuisyen percuma kini menerima peruntukan RM13 juta.

Pengumuman itu dibuat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang belanjawan demi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan sekalipun di tengah-tengah wabak Covid-19.

Penolong Setiausaha Pendidikan, Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Selangor Siti Syazwani Abdul Latif menyifatkan pertambahan peruntukan tentunya memberi banyak manfaat kepada pelajar.

“Setakat ini, kita ada rancangan tapi masih pada peringkat perbincangan. Antara yang akan kita lakukan adalah menerapkan konsep pembelajaran fizikal selepas virus Covid-19 berakhir,” katanya kepada SelangorKini.

Mereka juga sedang ligat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah pelajar berpendapatan rendah (B40) yang berdepan kekangan capaian internet untuk mengikuti e-pembelajaran.

“Jika masih berlaku wabak, pelaksanaannya bakal dilakukan dalam talian. Tumpuan mengenai e-pembelajaran ini akan diberi kepada murid dari keluarga B40 di seluruh Selangor yang tidak memiliki akses atau capaian internet, yang ini kita sedang cari jalan penyelesaiannya,” katanya.

Kumpul data

PTRS juga giat mengumpulkan data untuk diserah kepada Kerajaan Negeri dalam masa terdekat bagi memberi gambaran lebih jelas berhubung perancangan selanjutnya.

“Pertemuan dijangka pada Disember atau Januari depan. Program ini juga akan diselaras dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,” kata Siti Syazwani.

PTRS diperkenal pada Januari 2009 melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk membantu pelajar tingkatan lima dari keluarga berpendapatan rendah melalui tuisyen percuma untuk lima subjek teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sejarah, matematik dan sains.

Langkah Kerajaan Negeri yang menitikberatkan aspek pendidikan pelajar mendapat pujian Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), lebih-lebih lagi inisiatif pembelajaran maya menyediakan alternatif baru susulan penutupan sekolah.

Naib presidennya, Radin Muhd Imaduddin, juga seorang guru, menyifatkan pembelajaran secara maya penting bagi memastikan pendidikan murid tidak terjejas akibat wabak sebaliknya terus menimba ilmu dalam norma baharu.

“Saya harap pendidikan secara bersemuka dikurangkan, banyakkan atas talian. Saya gembira kesungguhan serta kepekaan kerajaan bagi memutuskan rantaian dan memastikan pendidikan sentiasa berjalan,” katanya yang turut berharap sekolah agama dan tahfiz yang dimiliki swasta diberi perhatian.


Pengarang :