Anggota polis bantuan KTMB Siti Nabilla Isnariah Mohd Jonib melakukan rondaan di dalam gerabak dan sekitar platform tren menggunakan topi keledar pintar bagi mengesan suhu badan penumpang pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tangani Covid-19 berasas nilai risiko, bukan hanya warna zon

PUTRAJAYA, 5 NOV: Tindakan proaktif bagi mencegah penularan wabak Covid-19 termasuk penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bukan hanya berdasarkan kod warna sesuatu zon, tetapi juga penilaian risiko yang dijalankan oleh pakar-pakar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penilaian risiko dijalankan dengan melihat kadar jangkitan, logistik, keupayaan KKM dan pelbagai faktor lain.

Mengambil contoh negeri Selangor, katanya, PKPB dilaksanakan sebelum enam daerah di negeri itu diisytiharkan sebagai zon merah berikutan kebimbangan kerajaan terhadap kepadatan dan pergerakan penduduk yang tinggi.

“Satu ketika dahulu saya telah umumkan R0 (kadar nilai kebolehjangkitan atau R-naught) di Selangor ialah 1.98, lebih tinggi berbanding di Sabah. Itu kebimbangan kita.

Jadi kita jalankan tindakan pre-emptive (pencegahan) melalui penilaian risiko di Selangor yang menjangkakan kes akan meningkat, jadi kita laksanakan PKPB sebelum daerah-daerah di Selangor menjadi Zon Merah,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini, hari ini

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan seorang pakar epidemiologi bahawa kerajaan perlu menggunakan petunjuk lebih baik dalam menentukan kategori zon bagi sesuatu kawasan penularan Covid-19 dan tidak hanya berpandukan jumlah kes di lokasi terbabit.

Beliau berkata penggunaan kod warna juga adalah bagi memudahkan pemahaman orang awam dengan pembahagian dibuat mengikut jumlah kes iaitu hijau (tiada kes), kuning (satu hingga 20 kes), jingga (21 hingga 40 kes) dan merah (40 ke atas).

Penilaian risiko akan dibuat apabila sesuatu mukim atau daerah mencatatkan antara 10 hingga 20 kes.

“Contohnya Mukim Parit Buntar, Perak, Mukim Rasau di Dungun, Terengganu dan Mukim Jimah di Port Dickson, Negeri Sembilan yang diisytiharkan sebagai kawasan PKPB walaupun belum jadi zon merah,” katanya.

Mengenai jangkaan kes positif Covid-19 meningkat hingga 6,000 dalam tempoh seminggu, Dr Noor Hisham berkata kesiapsiagaan KKM bagi gelombang ketiga ini lebih tinggi berbanding ketika gelombang kedua pada Mac lepas.

“Kita lihat kepada keupayaan hospital dan kemudahan-kemudahan KKM. Kita juga belajar daripada negeri Sabah contohnya daripada segi logistik dan lihat makmal-makmal kita,” katanya sambil menambah tindakan proaktif telah dijalankan termasuk dari segi sumber manusia.

-BERNAMA


Pengarang :