Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 9 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tarikh SPM dipinda, Selangor hasrat lanjut tuisyen percuma

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri bercadang untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sehingga Januari 2021.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan pindaan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada Februari 2021.

“PTRS dijadual berakhir pada Disember ini. Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Selangor sama ada untuk melanjutkan PTRS kepada Januari.

“Kerajaan Negeri akan cuba mendapatkan sokongan daripada pusat khidmat masyarakat bagi menyediakan lokasi PTRS supaya tidak menyusahkan penduduk, namun perlu sesuai dengan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Leong Tuck Chee pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Amirudin yang juga ADN Sungai Tua berkata tahun lalu seramai 10,000 pelajar menerima manfaat PTRS dan meningkat kepada 12,000 tahun ini.

“Menerusi program pendigitalan yang diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2021, ada saluran data untuk rakyat Selangor manfaatkan dan ia membolehkan mereka akses kepada aplikasi pembelajaran seperti PTRS.

“Untuk itu kita yakin sasaran PTRS untuk membantu 54,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Semalam menteri pendidikan mengumumkan semua sekolah ditutup di semua negeri bermula hari ini.

Dr Radzi Jidin berkata tarikh peperiksaan SPM, Peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula dipinda kepada 22 Februari tahun depan.


Pengarang :