Guru Taska Sinarku Gemilang Cawangan Sekolah Tunas Bakti, Melaka Aida Atikah Mohd Rizal, 23, membantu Nur Syazwana Husna Zawawi, 3, melakukan aktiviti pembelajaran di dalam kelas ketika tinjauan pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPENDIDIKAN

Taska boleh operasi semasa PKPB, patuhi SOP – menteri

PUTRAJAYA, 12 NOV: Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) awam dan swasta dibenarkan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Bagaimanapun menurutnya pembukaan taska berkenaan perlu mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) pada PKPB sebelum ini.

“Tidak ada halangan untuk mereka beroperasi. Kementerian faham sektor ekonomi perlu berjalan seperti biasa dan ibu bapa perlu keluar bekerja,” katanya sambil menambah, pihak Kementerian memahami keperluan ibu bapa yang mahu taska beroperasi semasa PKPB.

Beliau berkata antara SOP yang perlu dipatuhi di taska ialah ibu bapa perlu memandikan anak di rumah sebelum dihantar ke taska, selain anak-anak perlu dihantar mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak kesesakan sekiranya kesemua ibu bapa menghantar anak ke taska pada masa sama.

Taska adalah pusat asuhan bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah.

PKPB dilaksanakan di Semenanjung Malaysia kecuali di Kelantan, Pahang dan Perlis sehingga 6 Disember ini bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

 


Pengarang :