Keadaan jalan raya di sekitar mukim Hulu Langat yang ditenggelami air susulan banjir kilat pada 4 Nov 2020. Foto Facebook Informasi Terkini Penduduk Hulu Langat
ADNSELANGOR

Banjir kilat jejaskan tujuh kampung di Hulu Langat

SHAH ALAM, 4 NOV: Hujan lebat berterusan hampir lima jam sejak jam 2 pagi tadi menyebabkan tujuh kampung di mukim Hulu Langat dilanda banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua berkata lokasi terjejas ialah Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17 dan Kampung Sungai Serai.

“Hujan sudah berhenti namun keadaan belum surut dan rumah penduduk masih lagi digenangi air tetapi difahamkan setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” kata Edry Faizal Eddy Yusof ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga berharap mangsa banjir supaya bersabar dan berdoa ketika berdepan musibah.

“Pastikan sentiasa menjaga keselamatan diri dan berhubung dengan ketua kampung masing-masing sekiranya memerlukan apa-apa bantuan tambahan,” katanya.


Pengarang :