Ir Izham Hashim ketika sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 3 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada keperluan mendesak guna air Tasik Putrajaya

SHAH ALAM, 3 NOV: Selangor tidak terdesak untuk menggunakan air Tasik Putrajaya ketika kecemasan terutama apabila berlaku pencemaran sumber air.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata kolam di sekitar Semenyih masih mampu menampung bekalan air dalam tempoh empat hingga lima hari.

“Memang Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ada membuat permohonan kepada kementerian untuk menggunakan bekalan air dari Tasik Putrajaya sebagai sumber kecemasan, namun sehingga kini masih belum ada jawapan balas.

“Kalau dapat (bekalan air Tasik Putrajaya), itu dikira bonus, jika tak dapat pun kita mampu tangani masalah kekurangan bekalan air seperti yang diumumkan Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan Selangor 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk mengatasi isu pencemaran air mentah di negeri ini.

Empat projek diyakini mampu mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 termasuk LRA Rantau Panjang serta LRA Semenyih 1 dan 2.

Projek itu meliputi projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong serta pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas di kawasan sensitif sumber air.

Ia turut merangkumi projek menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk berisiko dan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih.


Pengarang :