Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang media berkenaan beberapa isu semasa di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 10 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tindakan tegas sebar video, gambar timbul fitnah libatkan polis

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang sengaja merakam serta menyebarkan video atau gambar anggota polis yang sedang bertugas sehingga boleh menimbulkan fitnah, sekali gus mengganggu siasatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan kegusaran dan persepsi salah dalam kalangan masyarakat sehingga wujud tanggapan pasukan keselamatan itu ‘menindas’ orang ramai.

“Kita memandang serius perbuatan berniat jahat itu yang memuat naik serta menularkan video atau gambar tentang sesuatu kejadian seolah-olah pegawai penguat kuasa bertindak menyalahi undang-undang.

“Polis sentiasa menghormati kebebasan bersuara, tetapi mestilah dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut memberi amaran bahawa mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Beliau mengulas tindakan seorang lelaki berusia 24 tahun yang merakam visual dengan telefon bimbit dan menyiarkannya menerusi Facebook Live ketika sepasukan anggota polis membuat serbuan serta menahannya di sebuah rumah di Petaling Jaya pada 7 Nov lepas.

Serbuan itu dibuat berhubung siasatan kes Akta Hasutan melibatkan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY).

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata polis menjalankan siasatan terhadap seorang pemimpin kanan UMANY mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA


Pengarang :