Kajian dalam kalangan pesakit barah mulut di negara ini mendapati kadar kelangsungan hidup lima tahun hanyalah 30 peratus bagi pesakit didiagnos pada peringkat lewat berbanding 64 peratus disaring pada peringkat awal. Foto Portal MyHealth
AGENDANASIONAL

Tingkat kesedaran kesan awal barah mulut, 60 peratus tahap tiga, empat

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kesedaran mengenai pentingnya pemeriksaan dan pengesanan awal barah mulut perlu ditingkatkan susulan 60 peratus kes barah mulut di Malaysia lewat dikesan iaitu pada tahap tiga dan empat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata berdasarkan kajian dilakukan dalam kalangan pesakit barah mulut di negara ini mendapati kadar kelangsungan hidup lima tahun hanyalah 30 peratus bagi pesakit yang didiagnos pada peringkat lewat berbanding 64 peratus disaring pada peringkat awal.

Katanya, kualiti hidup pesakit juga terkesan kerana penyakit ini memberi kesan fizikal dan psikososial yang teruk kepada pesakit dan penjaga mereka.

“Walaupun barah mulut tidak tersenarai dalam Top 10 Most Common Cancer in Malaysia, menurut data daripada National Cancer Registry 2012-2016 (MNCRR), barah mulut dilaporkan sebagai barah keenam berlaku dalam kalangan rakyat dan seseorang boleh mencegahnya sebelum parah.

“Kajian itu menunjukkan bahawa pengesanan awal barah melalui kaedah saringan mampu meningkatkan kadar survival supaya rawatan dapat diberikan pada peringkat awal. Barah mulut boleh dicegah, mudah dikesan dan boleh dirawat jika dikesan pada tahap awal,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Kesedaran Barah Mulut 2020 secara maya hari ini.

Turut hadir adalah Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor.

Dalam pada itu, beliau berkata secara purata terdapat dua kes barah mulut didiagnos setiap hari.

Justeru, Adham menyeru agar masyarakat prihatin dan mengambil cakna mengenai barah mulut dengan mendapatkan saringan awal serta mengelakkan faktor risiko menyumbang kepada penyakit itu.

Katanya, usaha dan inisiatif untuk membantu serta menyokong pesakit yang melawan barah itu harus dipertingkatkan agar mereka serta keluarga dapat menikmati kehidupan lebih sejahtera.

-BERNAMA

 


Pengarang :