EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tingkat koordinasi agensi kesan awal pencemaran air – EXCO

SHAH ALAM, 19 NOV: Koordinasi antara agensi Kerajaan Negeri, Persekutuan dan pihak berkuasa perlu dipertingkat untuk mengesan awal pencemaran sumber air, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata risiko henti tugas loji rawatan air (LRA) sehingga menjejaskan bekalan dapat dielak sekiranya semua pihak dapat memperkukuh kerjasama.

“Gangguan bekalan air akan berlaku jika LRA henti tugas lebih empat jam, ini bermakna gangguan bekalan dapat dielak sekiranya pencemaran dikesan lebih awal.

“Sebab itu kita tekankan betapa pentingnya kerjasama melibatkan Lembaga Urusa Air Selangor (Luas), Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Khas Pakej Pemulihan Ekonomi Impak Covid-19 di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

Katanya, insiden pencemaran bau berhampiran loji kumbahan IWK di Taman Velox baru-baru ini berpunca masalah koordinasi melibatkan agensi berkaitan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air di Selangor pada Isnin mengenal pasti punca kejadian disebabkan masalah tersebut, jadi ini pengajaran kepada kita semua,” katanya.

Pada 11 November Loy Sian kesal apabila SPAN tidak memaklumkan lebih awal pencemaran di loji kumbahan IWK sedangkan ia berlaku pada 4 November lalu.

Insiden tersebut menyebabkan henti tugas LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 yang menyebabkan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun.


Pengarang :