AGENDANASIONAL

TM Piala Malaysia: Selangor bertemu Melaka, Kuala Lumpur layak automatik

SHAH ALAM, 1 NOV: Juara 33 kali, Selangor bertemu Melaka pada pusingan pertama TM Piala Malaysia yang akan membuka tirai kejohanan pada 6 November ini.

Tanpa perlawanan timbal balik, pemenang akan menentang sama ada Kedah atau Pahang pada peringkat suku akhir.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim dijangka tidak berdepan masalah untuk mara apabila diundi bertemu Kuching FA manakala satu lagi pasukan Kuala Lumpur layak secara automatik.

Dua finalis 2018, Terengganu FC dan Perak bakal bertembung di peringkat suku akhir sekiranya masing-masing berjaya membenam cabaran Petaling Jaya FC dan Kelantan United FC pada pusingan pertama.

Manakala dua lagi saingan peringkat kumpulan menyaksikan juara Liga Perdana, Pulau Pinang bertemu Felda United FC serta UiTM FC berdepan Kelantan.

Undian TM Piala Malaysia yang berlangsung hari ini disiarkan secara langsung menerusi Facebook Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Peringkat suku akhir dijadualkan pada 12 dan 13 November manakala separuh akhir 17 November.

Terdahulu, MFL mengumumkan format pertandingan terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama hingga ke separuh akhir sebelum aksi perlawanan akhir pada 22 November susulan penularan Covid-19.


Pengarang :