Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove di Meru Klang pada 26 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Top Glove jangka perolehan tahun depan terjejas tiga peratus

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) menjangka pendapatannya untuk tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Ogos, 2021, akan terjejas sebanyak tiga peratus berikutan penggantungan sementara operasi kilangnya di Klang, Selangor.

Bagaimanapun, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata pihaknya menjangkakan tidak akan dikenakan penalti kerana kelewatan penghantaran.

“Kesan daripada gangguan sementara ini dijangka akan menyebabkan beberapa kelewatan dalam jadual penghantaran kami antara dua hingga empat minggu,” katanya.

Top Glove berkata syarikat itu menjalankan operasi di pelbagai lokasi dan negara dengan pelan kesinambungan perniagaan sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risikonya.

Pada Isnin lepas, pihaknya mengumumkan penutupan kilangnya untuk membolehkan pekerja kilang itu disaring dan menjalani kuarantin berikutan peningkatan kes Covid-19 di situ.

Sebanyak 16 fasiliti pembuatannya di Meru, Klang telah menghentikan pengeluaran buat sementara waktu sejak 17 November lepas dan setiap fasiliti itu akan dapat beroperasi semula secara berperingkat selepas para pekerja selesai menjalani ujian ’swab’ dan kerja-kerja nyah cemar terhadap kilang tersebut.

Dua belas fasiliti lain kini beroperasi dengan kapasiti sekitar 20 peratus dan akan ditutup buat sementara waktu untuk proses ujian ‘swab’ terhadap pekerja dan ia akan dibuka semula selepas kerja-kerja nyah kuman dilakukan sepenuhnya.

Daripada segi kesan terhadap jumlah kapasiti pengeluaran bagi tempoh sekitar 14 hari, berdasarkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) dari 17 Nov hingga 30 Nov, 28 fasiliti yang terjejas di Meru mewakili sekitar 50 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran syarikat.

“Sebagai langkah mengurangkan risiko, Top Glove telah menjadualkan semula pelan pengeluarannya untuk fasiliti yang tidak terjejas untuk memenuhi pesanan yang penting,” katanya.

Harga saham Top Glove turun 55 sen kepada RM6.80 pada penutup sesi dagangan Bursa Malaysia semalam.

– BERNAMA


Pengarang :