Pengarah Urusan Top Glove, Dato’ Lee Kim Meow (tiga dari kiri) memberi taklimat kepada pegawai yang menyertai operasi penutupan kilang tersebut di Jalan Teratai, Klang pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Top Glove komited kerjasama dengan semua agensi, cegah Covid-19

KLANG, 25 NOV: Kilang pengeluar sarung tangan terkenal, Top Glove komited menjalin kerjasama dengan semua agensi bagi membendung penularan Covid-19 demi keselamatan pekerja dan penduduk setempat.

Pengarah urusannya berkata antara tindakan segera diambil ialah menutup 20 kilang termasuk asrama pekerja di Jalan Teratai pada 17 November susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Hanya lapan kilang masih beroperasi membabitkan 10 peratus daripada operasi keseluruhan. Lebih mustahak kami turut memastikan semua kakitangan menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu pekerja tempatan dan warga asing.

“Selain itu, kerja nyahkuman turut dijalankan dan langkah tatacara operasi piawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi,” kata Dato’ Lee Kim Meow kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menerima notis arahan penutupan tujuh kilang Top Glove oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bermula hari ini hingga 8 Disember depan.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed; Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh.

Pada 23 November, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 28 kilang Top Glove diarahkan ditutup secara berperingkat.

Setakat semalam, 4,036 orang disahkan positif Covid-19 bagi Kluster Teratai dengan majoriti ialah pekerja kilang tersebut termasuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah berkenaan, 3,846 individu yang positif bukan warganegara daripada 5,777 disaring.


Pengarang :