EXCOSELANGOR

Tourism Selangor hasil video, tarik pengunjung dalam negeri

SHAH ALAM, 2 NOV: Tourism Selangor mempergiat promosi video pelancongan bagi menarik pengunjung domestik ke negeri ini, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata video tersebut ialah Discover Selangor, Take Me Anywhere; Virtual Travel Tour; Alami Selangor; Walking Through; Nak Bercuti Pusing Selangor Dulu! serta Pelancongan Kesihatan dan Perubatan Selangor.

“Tourism Selangor meningkatkan promosi pelancongan secara digital atau dalam talian termasuk menggunakan teknologi realiti maya bagi menarik pengunjung ke negeri ini.

“Video yang dihasilkan mesti benar-benar mampu menggamit minat pelancong di negeri ini atau negeri lain, sebab itu kita tekankan pengisian promosi yang menarik,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri  Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung langkah untuk meningkatkan kehadiran pelancong domestik pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata Tourism Selangor turut melaksanakan promosi Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’ di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu pada September dan Spice Convention Center, Pulau Pinang pada Oktober.

“Tourism Selangor juga dijemput menjadi panel sesi webinar peringkat antarabangsa anjuran Tourism Malaysia di Guangzhou, Tourism Malaysia di Chennai dan World Travel Market (WTM) London pada tahun ini,” katanya.


Pengarang :