ADNSELANGOR

Tuisyen rakyat dalam talian bantu calon SPM, elak tercicir

SHAH ALAM, 2 NOV: Pelaksanaan program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) secara dalam talian mampu membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata ramai murid yang sepatutnya menduduki peperiksaan itu tahun ini ketinggalan dalam sukatan pembelajaran berikutan kegagalan hadir ke sekolah sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita menyambut baik usaha meneruskan PTRS tahun hadapan yang bakal memberi manfaat kepada lebih ramai murid terutama (murid) daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) selain mengurangkan kos.

“Kaedah pembelajaran dalam talian adalah lebih baik memandangkan (PTRS) sebelum ini kita perlu sediakan tempat tuisyen dan membayar upah guru untuk mengajar,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata peruntukan lebih besar untuk program tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan sistem sokongan dalam bidang pendidikan seiring suasana pembelajaran norma baharu.

“Kerajaan Negeri mengambil peranan membantu golongan pelajar khususnya yang bakal menduduki SPM agar tidak ketinggalan melalui pembelajaran atau kelas tambahan lebih fleksibel secara dalam talian.

“Namun, pembelajaran dalam talian dan cabaran semasa dalam tempoh PKP juga perlu diurus dengan baik oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin pula mahu pelajar memanfaatkan peluang dan bimbingan yang diberikan melalui kelas tuisyen berkenaan agar mampu meraih kejayaan dalam bidang akademik.

“Diharapkan pelajar menghargai inisiaitf ini sama ada akses pembelajaran dalam talian mahupun luar talian kerana saya percaya kejayaan akademik dan kemahiran insaniah yang tinggi boleh mengubah masa hadapan seseorang pelajar,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 berkata sebanyak RM13 juta diperuntukkan bagi meneruskan PTRS tahun hadapan.


Pengarang :