AGENSISELANGOR

Tukar injap: Bekalan air di 27 kawasan pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 25 NOV: Gangguan bekalan air berjadual di Kuala Langat dan Sepang ekoran kerja penggantian injap paip di simpang Jalan Indah 1, Jalan B48 Pekan Sepang Lama pulih sepenuhnya.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata semua pengguna di 27 kawasan terjejas telah menerima semula bekalan air jam 12.30 tengah hari tadi.

“Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Pagi tadi Air Selangor memaklumkan kerja penggantian injap paip berkenaan siap jam 3 pagi, lebih awal daripada dijadualkan.

Susulan itu, pengguna mula menerima bekalan air jam 5 pagi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau rujuk kesemua saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.


Pengarang :